logo kmkj small

Pengenalan & Latar belakang

Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor (KMKJ) yang dahulu dikenali sebagai Kolej Matrikulasi Teknikal Johor (KMTJ) terbina di atas kawasan di Kampung Rambah, Mukim Rimba Terjun dalam daerah Pontian. Ia merupakan antara 15 buah Kolej Matrikulasi di bawah naungan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menyediakan para pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana IPTA tempatan dan luar negara. Kolej ini mula beroperasi pada 11 Mei 2009 dan mampu menampung sehingga 450 orang pelajar. Kolej ini terletak berhampiran dengan Pusat Pentadbiran bandar Pontian yang sedang pesat membangun dan dikelilingi oleh bandar-bandar besar seperti Batu Pahat dan Johor Bahru.

Kolej ini merupakan antara tiga Kolej Matrikulasi Kejuruteraan. Selain dari KMKJ, Kolej Matrikulasi Kejuruteraan terdiri dari Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah (KMKK) dan Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang (KMKPh) dimana kesemuanya berada di bawah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kumpulan pelajar pertama seramai 89 orang pelajar telah mendaftar pada 11 Mei 2009 dimana ketika itu masih berkongsi bumbung yang sama dengan 350 orang kumpulan terakhir pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Pontian. Penubuhan KMKJ ini secara rasminya adalah pada 1 Januari 2010 setelah Sekolah Menengah Teknik Pontian ditutup pada 31 Disember 2009. Kini Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor diterajui oleh Encik Izehari Bin Basar. Beliau dibantu oleh empat orang Ketua Jabatan, empat orang Penolong Pengarah, Pensyarah dan Anggota Kumpulan Pelaksana.

Asas pertimbangan mengadakan Program Matrikulasi Jurusan Teknikal adalah:

Hasil cadangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Akademik Bil.12/08 yang dipengerusikan oleh Yg. Bhg Tan Sri Dr. Zulkarnain Bin Haji Awang, iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2 Julai 2008.
Persetujuan yang dicapai hasil mesyuarat khas antara Yg. Bhg. Dato' Dr. Zainal Abidin Bin Ahmad iaitu Pengarah Bahagian Matrikulasi KPM dan Yg. Bhg. Dato' Haji Yusoff Bin Harun, Pengarah Pendidikan Teknik dan Vokasional KPM pada 31 Julai 2008. Turut hadir bersama adalah pegawai-pegawai kanan daripada kedua-dua bahagian.Kertas cadangan pelaksanaan Program Matrikulasi Jurusan Kejuruteraan telah diterima dan diluluskan pelaksanaannya dalam Mesyuarat Profesional Bil. 12/2008 yang dipengerusikan oleh Yg. Bhg. Dato' Haji Alimuddin Bin Haji Md Dom iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 10 Disember 2008. Pelaksanaan Program Matrikulasi Jurusan Kejuruteraan/Teknikal telah diumumkan dalam Berita Harian oleh Yg. Bhg. dato' Dr. Zainal Abidin Bin Ahmad, Pengarah Bahagian Matrikulasi KPM pada 4 Disember 2008 setelah mendapat persetujuan daripada YB Menteri Pelajaran.

image 1

KMKJ boleh menempatkan seramai 450 orang pelajar secara full board di dua blok kediaman yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk bilik penginapan pelajar, bilik bacaan serta bilik rekreasi.

Pusat Kegiatan Pelajar (PKP)
One Stop Centre untuk pelajar menjalankan segala aktiviti. Antara aktiviti di bawah PKP adalah aktiviti akademik/ilmiah, aktiviti sukan dan riadah, aktiviti khidmat masyarakat, aktiviti kerohanian, aktiviti kebudayaan, aktiviti kepimpinan dan aktiviti mesyuarat persatuan/kelab pelajar.


Fasiliti Riadah
Pelbagai kemudahan dan peralatan untuk staf dan pelajar beriadah telah disediakan seperti padang bola sepak dan ragbi, padang hoki, gelanggang bola keranjang, gelanggang tennis, gelanggang bola tampar, gelanggang sepak takraw dan juga sebuah dewan serbaguna yang menempatkan gelanggang badminton.